Hati isteri mana yang tidak tersentuh melihat suami tersayang di kepit wanita lain. Namun dia hanya mampu terdiam. Fitrah seorang wanita tersepit di dalam kekalutan hidup..Sering memikirkan apa lagi yang tidak kena pada dirinya sehinggakan suami menumpang kasih di hati yang lain. Dia terkedu mengenangkan cahaya mata, buah hati pengarang jantung mereka di rumah, hasil benih cinta dari sebuah perhubungan yang halal. Wahai suami, tidakkan kau dengari bisikan hati ini yang mengharapkan suatu kesempurnaan dalam hubungan ini.
Teringat dulu bagaimana sebaknya hati seorang wanita pabila dirinya disunting menjadi suri buat kekasih hati. Terasa terangkat sudah beban yang selama ini di galas di bahu. Ringan seringan yang boleh. Terasa itulah nikmat berumahtanga. Saat tersaksi oleh kedua matanya tangan si suami memegang erat tangan tok kadi dan melafazkan akad, terasa kegusaran selama ini terpadam sudah.Diri sudah pasti menjadi milik orang. Jika selama ini dosa pahala adalah urusannya dengan Yang Maha Esa, kini kehadiran suami membuatkan dia lebh harus berhati- hati. Dia tidak mahu nanti menjadi pengemudi suaminya ke pintu neraka.
Tatkala malam pertama dibelai suami, dia merasakan nikmat lebih dari segala- galanya di dunia. Dibelai mesra dan di datangi sewajarnya sebagaimana yang sepatutnya. Tirai hijab terangkat sudah buat mereka yang kini termeterai ikatan suci yang tiada terhalang lagi. Ucap salam dan elusan lembut di rambut membuai kan dirinya terbuai hanyut dalam keasyikan. Fadhilat hubungan badan setelah bernikah difahami sudah.Tiada siapa yang dapa menangkis kenyataan sebenar bahawa nikmat berumahtangga adalah syurga dunia.
Menjelang ulangtahun pernikahan mereka yang pertama, si isteri sudah sarat mengandung. Perut sentiasa di sentuh tanda kasih buat zuriat, hasil benih cinta. Badannya yang semakin berisi di rasa semakin menawan, tanda kasih buat suami yang menghargai dirinya. Setiap kemahuan di penuhi hatta yang di idam adalah sesuatu yang sukar. Di saat itu terasa diri benar-benar di sayangi, di manjai, di belai bak puteri. Syukurlah, termakbul juga doanya untuk ditambahkan rezeki oleh-Nya , Tuhan Sekalian Alam. Tiap malam basah bibirnya mengucapkan tasbih dan tahmid buat Yang Esa, mendoakan agar diberikan kelapangan hati dan juga kekuatan dalam menghadapi hari- hari muka bersama si kecil nanti.
Nur Alissa Shaukat, cahaya mata ibu dilahirkan genap 9 bulan 10 hari tanpa sebarang masalah. Kesakitan yang dirasai hilang bak angin lalu setelah zuriat di pangku penuh kasih sayang. Wajah suami yang pastinya sugul menantikan detik- detik kelahiran akhirnya bercahaya tatkala menatap wajah si kecil yang comel. Perlahan- lahan di ampu bayi sebaik mungkin di rangkulan lantas di qamatkan. Sebiji kurma di keluarkan dari beg plastik ibu mertuanya lalu dioleskan ke bibir yang mungil itu. Tidak dilupakan juga olesan madu. Moga bibirnya hanya akan menuturkan kata- kata yang benar dan sentiasa bersopan dalam penampilan dan juga perbuatan, pertuturan. Si kecil lena di pangkuan si suami yang menitiskan air mata, mungkin kerana terkesima dalam suasana yang penuh keriangan ini.
Setelah itu, terasa saat- saat kehamilan adalah saat- saat yang paling dinantikan. Syukurlah murah rezekinya dalam perihal zuriat. Dua tahun setelah kelahiran Alissa menyusul pula Nur Ain Shaukat, Nur Amira Shaukat dan Mohamad Fidzilal Shaukat. Kehadiran mereka benar- benar menyinari kehidupan mereka. Walau bagaimana sibuk sekalipun tugasnya sebagai doktor di hospital, tanggungjawabnya terhadap suami dan anak- anak tidak pernah di abaikan. Cuba dilaksanakan segalanya sesempurna mungkin. Sebagai hamba-Nya yang lemah, pasti ada juga yang serba kekurangan dalam perlaksaan itu, namun telah dicuba segalanya agar apa yang cuba di lakukan adalah sebaik mungkin. Perkembangan anak- anak di awasi agar mereka kekal membesar cemerlang sebagai seorang insan, muslim dan muslimah yang berhemah.
Kenaikan pangkat si suami merubah tatacara hidupnya selama ini yang agak teratur dan lebih bersistematik. Suami yag acapkali meninggalkan rumah berminggu- minggu lamanya atas urusan perniagaan kerap membuatnya berada dalam keadaan yang terkontang- kanting. Wang bukanlah segalanya buat si isteri, gajinya sahaja sudah melebih daripada cukup buat perbelanjaan sehari- harian. Namun dirinya lemah bila di tanya bertubi- tubi mulut -mulut comel ini di manakah ayahnya. Lebih- lebih lagi Fidzilal yang sememangnya rapat dengan Abahnya. Seringkali demam bila berjauhan, kesihatannya terjejas teruk berbanding dengan yang lain. Mungkin kerana lazimnya anak lelaki bongsu sememangnya manja berbanding kakak-kakaknya yang ternyata rapat dengan Uminya ini. Acapkali juga kenakalan anak- anak mencabar kesabarannya apatah lagi sekiranya si steri dalam keadaan penat setelah seharian di bilik pembedahan. Namun secepat mungkin di arahkan kaki ke bilik air, di ambilnya wudhuk buat penenang hati.
Ini bukanlah kali pertama telinga tertancap dengan pelbagai tohmahan mengenai suaminya. Bukan sekali dua berita- berita yang disampaikan menyebabkan dia menjeruk rasa. Makan hati. Namun sebagai seorang isteri, dia masih mampu bertahan. Diyakini bahawa suaminya itu takkan tergamak melukakan hatinya ini. Tidak pernah walau sekalipun diujarkan pertanyaan sedemikian buat suami.Baginya selagi tidak nampak bukti di depan mata, selagi itulah segalanya yang didengarnya adalah sekadar cerita penghuni masa senggang, cerita penglipur lara yang masih belum tahu kesahihannya lagi.
Namun ketika ini, hatinya bergetar. Gelagat suami diperhati teliti. Masya-Allah...Dia mengurut dadanya yang semakin sebak menatap drama di hadapannya. Bagai tidak dipercayai, si suami sedang bermesra dengan seorang wanita yang pastinya bukanlah dirinya.
Tidakkah terasa lemas jarinya yang berpenghunikan cincin nikah, lambang dirinya dimiliki seorang wanita bergelar isteri?
Tidak terasa kebas kah tangannya dilingkar ke pinggang seorang wanita yang pastinya bukan muhrimnya, apatah lagi bukan isterinya?
Tidak terasa sebalkah bibirnya bertaut dengan bibir seorang wanita yang bukan mempunyai ikatan halal, yang masih belum terangkat hijabnya mengikut Sunnah dan Rasul?
Terdiam lagi. Kelu. Sepi. Terasa seakan alam ini juga berhenti berpusing tanda sedih atas penghayatan dirinya kepada sandiwara yang sedang berlaku di hadapannya. Ya Allah, tabahkanlah hati hamba-Mu ini....
Tiba di rumah setelah memendam rasa, kakinya terasa ringan ke dapur. Tangannya lincah memotong dan menyiat daging dan sayuran buat hidangan makan malam sekeluarga. Anak- anak juga ringan tangan membantu di dapur sementara orang gajinya sibuk mengemaskan rumah, menyiram pokok dan membasuh baju. Jasadnya mungkin di dapur namun fikirannya menerawang entah ke mana. Masih terlihat di matanya, imej si suami di samping wanita tadi. Sesekali lamunannya terhenti dek pertanyaan anak- anak daranya yang menyedari perubahan si ibu. Dia hanya tersenyum, mengatakan bahawa segalanya sihat dan selamat.
Deruman enjin kedengaran di luar sana, menandakan si suami sudah pulang. Si kecil, Fidzilal sudah pastinya seronok setelah hampir seharian menantikan kepulangan Abahnya.Sedih hati si isteri bila menyaksikan kedinginan suami terhadap anak- anak. Setelah kasut dibuka si suami bingkas berlari- lari anak ke atas. Pintu bilik di tutup perlahan dan kedengaran bunyi pancuran mandian jelas di dapur. Tidak sampai 15 minit kemudian, kedengaran enjin kereta kembali mengaum, di pandu keluar dari perkarangan rumah. Anak- anak hanya mampu terdiam, menahan sebak. Fidzilal mula memberontak, menangis bila ditinggalkan Abah. Si ibu sendiri terpaku menyaksikan pemergian suami begitu saja.
Dipujuk anak- anak supaya lekas menikmati makan malam supaya lebih awal mengulangkaji pelajaran. Solat. Tidur. Dia sendiri kalau boleh mahu ditinggalkan sendirian. Hatinya bagaikan menahan suatu perasaan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu diucapkan. Rasa kecewa dan sedih. Tatkala ini jam berdenting menunjukkan jam 3 pagi dan kelibat suaminya masih belum ada. Tanpa disedari, matanya terkatup jua setelah penat menunggu suami yang belum pulang kepangkuannya. Diatas meja tertulis sepucuk surat buat suami tercinta. Moga ianya tidak menyinggung perasaan dan menduga maruahnya sebagai seorang lelaki, suami dan pembimbing.
Tidak di duga pagi itu dia dikejutkan dengan tangisan dan esakan dari seorang lelaki bergelar suami. Sayup- sayup kedengaran suara yang sedih lagi syahdu. Si suami memohon keampunan atas segala kesilapannya. Jawatan dan harta membuatkan dia lupa diri, lupa keluarga dan juga lupa kepada isterinya yang telah banyak berjasa. Hatinya tersentuh. Suaminya mengakui kesilapan dan insya-Allah, berjanji untuk tidak lagi mengulanginya. Tangan suami di raup kemas, dikucup lembut dan akhirnya suami di peluk erat.
“Abang masihkan cintakan isteri Abang, Intan”, katanya.
Syukurlah....Rupanya masih ada cahaya buat pernikahan ini......
0 comments:
Post a Comment