Pages

Saturday, January 8, 2011

CERPEN: Syurga Dunianya

Malam ini genap lima belas tahun usia perkahwinannya. Segalanya masih utuh di ingatan. Tak pernah luput walau setelah sekian lama ianya berlalu. Ditolehnya ke arah sekujur tubuh yang masih berselimut di ruang bilik tidur utama. Penat benar agaknya di pejabat tadi, biarlah. Sesekali kedengaran juga dengkuran halus dari si suami yang kelihatan menikmati waktu rehat yang ada.

Dilipatnya telekung dan kain sembahyang kemas- kemas, tertib agar ianya tidak akan keromot. Sejadah di sangkut lembut, lambang tatacaranya sebagai seorang muslimah. Di atur langkahnya perlahan menuju ke arah meja soleknya yang cukup ringkas namun elegan dengan perhiasan yang seadanya.

Tatkala ini dia seharusnya boleh mendabik dada dengan pencapaian diri. Dengan sebuah rumah yang tersergam indah, deretan kereta buat keluarganya dan juga nama buat dirinya sendiri, dia bersyukur dengan limpah kurnia Ilahi. Namun yang sentiasa mendapat tempat utama di hatinya adalah suami dan juga permata hati yang kini sedang lena nyenyak dibuai mimpi. Semua ini tidak datang bergolek. Ianya hasil pengorbanannya dan juga keinginannya memberikan yang terbaik buat suami dan anak- anak..

Syukur alhamdulillah, pilihannya tepat. Suami yang di sanjung memberi dorongan dan sokongan padu buat dirinya untuk melangkah jauh dalam bidang pilihannya ini. Perkenalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang membuahkan rasa cinta yang mendalam. Suaminya yang juga bekas juruterbang buat Thai Silk Airways berjaya membuatkan dia jatuh hati. Hadir entah dari mana perasaan itu, dia sendiri kaget bila mengetahui dirinya makin rindu, makin bertambah kasih kepada lelaki matang itu. Perbezaan usia tidak pernah dijadikan alasan untuk tidak bersama, malahan ianya lebih mengeratkan lagi talian antara mereka. Nyatalah segalanya memang dirancangkan oleh-Nya. Setelah hampir 2 tahun mengenali hati budi, mereka saling memiliki antara satu sama lain walaupun ikatan itu tidak direstui. Hampa rasanya hati tatkala mengenangkan peristiwa yang berlaku, namun untuk mengatakan bahawa dia menyesal, tidak sama sekali.

“Kejayaan Lisa adalah kejayaan abang juga, sayang. Cukuplah abang berada di belakang tabir. Membantu Lisa membimbing anak- anak. Insya-Allah, segalanya kan okay. Buktikan pada semua bahawa Lisa mampu berjaya”.

Kata- kata azimat yag pernah dituturkan oleh si suami benar- benar mengharukan hati. Benarlah kata orang, tak salah sekiranya di sebalik seorang wanita yang berjaya, berdirinya seorang lelaki. Dan lelaki itu jugalah yang berjaya menghalang dirinya daripada terjerumus ke lembah yang hina. Perubahan yang mendadak selepas bernikah adalah kejutan buat keluarga dan sahabat. Namun masing- masing mengaku akan betapa kuatnya ikatan pernikahan itu. Dari seorang gadis yang ranggi dan bebas, dia berubah kepada seorang wanita yang lemah lembut, penuh dengan tertib kewanitaan Muslim. Seakan masih kedengaran ulangan suara Uztaz Shahbudin sewaktu berkursus dulu. “ Dosa isterilah yang suatu hari nanti yang akan membuatkan si suami tidak dapat menikmati syurga dunia mahupun syurga abadi selepas akhirat nanti.‘Lisa kasihkan abang, sayang dan Lisa tidak mahu menarik Abang ke dalam Neraka jahanam’. Air matanya hampir menitis.....

Setelah menempek pelembap di wajah, dia menghayun langkah ke arah katil. Penat di OT tadi tidak pernah habis. Sudahlah tempohari baru sahaja dia menjalankan pembedahan ‘heart bypass’ Dato’ Omar, tadi baru sahaja diselesaikan pembedahan yang sama buat Dato Amri dalam jangkamasa yang hampir sama. Mahu pitam rasanya kalau pembedahan berlarutan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan namun dia puas kerana niatnya selama ini untuk membantu para pesakit telah tercapai. Nyanyian Asmaul-Husna sepanjang pembedahan tadi sedikit sebanyak membantu menenangkan drinya. Malahan di dalam hati, tidak pernah berhenti berzikir, memuji kebesaran Ilahi.

Lelah badannya terasa kini. ‘Awak ni bukannya muda lagi, Dr Lisa’. Hatinya tersenyum setiap kali diusik begitu oleh teman seperjuangan. Dia tidak pernah ambil pusing akan hal itu, namun ianya dijadikan pedoman agar lebih berhati- hati dalam tugasannya. Memikul tanggungjawab sebagai seorang kardiologis adalah berat. Gahnya tidak seberapa, malahan gelaran yang diraih adalah hasil daripada perjuangannya menghadapi persaingan daripada para doktor profesional yang lain dan juga pengorbanan yang bukan sedikit daripad keluarganya.

Sewaktu ibu-ibu yang lain leka mendodoi anak, dia sibuk mengendong buku teks yang tebal-tebal ke sana kemari. Dari mendapatkan segulung ijazah, dia terokai alam Masters dan seterusnya mendalami ilmu kardiologi di Ireland. Dia ketinggalan bila Hannah mula mengagah- agah Abahnya pada umur 11 bulan. Dia juga tiada di sisi Hasyim sewaktu anak itu menjangkiti demam campak dari anak Kak Pah sebelah rumah. Dia juga tiada di sisi untuk sama- sama meraikan harijadi Harlina yang juga sama tarikhnya dengan dirinya sendiri. Namun ianya tidak dijadikan alasan untuk tidak cuba meluangkan masa bersama-sama mereka yang tercinta.

Setiap kejayaan anak- anaknya cuba di sambut semeriah mungkin. Segala keinginan cuba di capai buat kebahagiaan anak- anak dan suami yang selama ini banyak memberinya ruang dan peluang untuk menjadi yang lebih baik dari yang terdahulu.

Hannah kini sibuk dengan pelajarannya. Anak daranya kini sudah ligat nampaknya berkawan namun hatinya bersyukur kerana Hannah tergerak untuk bertudung. Manis. Ayu. Pernah ditanya, takkan menyesalkah bertudung di usia muda dan tidak disangka si kakak memberikan jawapan dengan penuh yakin sekali.

“Bertudung menghalang Kakak dari membuat perkara- perkara yang lagha, Ma. Setiap langkah Kakak membawa maruah dan martabat muslimah. Hanya inilah jihad yang mampu Kakak lakukan buat masa ni, Ma”.

Mendengarkan kata- kata itu, sejuk hati ini. Tidak sia- sialah Mama mengandungkanmu, Hannah. Kesopanan dan ketekunan Kakak juga di ikuti oleh si adik yang sentiasa ringan tangan membantu di rumah, apatah lagi kerap mengikutnya ke hospital. Hasyim, katanya ingin menjadi doktor pediatrik. Sayu hatinya mengetahui bahawa ada di antara kanak- kanak ini yang bertarung dengan maut setiap hari. Ingat lagi saat pertama dia di bawa ke Wad Zamrud. Kalau boleh dia tidak mahu Hasyim melihat situasi itu, namun setelah penat melayan karenah anak bujang yang seorang itu di turutkan juga.

Terdiam Hasyim bila melihatkan kanak- kanak sebayanya yang buncit kesakitan, dengan wayar dan tiub- tiub berlingkaran di tubuh hingga ke lantai. Yang terbakar mohon diredakan kesakitannya, yang di dera mohon agar di tarik saja nyawanya, dan yang kronik berdoa siang malam agar Tuhan berikan kelonggaran buat dirinya yang bakal mengadap-Nya. Malam itu Hasyim lena dipelukannya. Tenang. Tabah. Dia bangkit keesokkannya dengan azam yang baru.

“Ma, Syim nak bantu mereka sama seperti Mama tolong pesakit yang lain”.

Hanya Tuhan yang tahu betapa bangganya hati seorang ibu tatkala itu. Mama yakin Hasyim akan berjaya, sayang ......

Harlina, buah hati pengarang jantung Mama. Walau dirimu tidak sesempurna yang lain namun pada Mama, dikaulah racun, dikaulah penawar hati ibu, sayang. Terkenang saat- saat di sahkan bahawa zuriat kasih yang dikandungnya itu menghidap sindrom Down, rasa kekesalan menghentak dadanya. Sering ditanya mengapa dirinya diuji sedemikian rupa. Namun dia tahu, itulah risikonya bila wanita seusia dengannya mengandung lewat. Apatah lagi di usia lewat 30-an sepertinya. Kegembiraannya diselaput rasa sedih mengenangkan apakah ada masa depan buat anaknya yang satu ini. Mampukah si mungil ini melangkah gagah dan tabah mengahadapi hari muka kelak?

Persoalan yang utama bermain di benaknya, mampukan dia menjadi seorang ibu yang baik buat benih itu. Serasa diri terpukul dengan kenyataan itu yang seakan halilintar membelah bumi. Ayat itu bak hukuman gantung, tali itu terasa di lehernya menjerut bukan sedikit udara yang perlahan-lahan keluar masuk dari rongga badannya.

Kehadiran suami pemberi semangat. “Abang, tidak mampu rasanya Lisa melangkah jika tanpa Abang di sisi. Abanglah selama ini tiang seri, sumber kekuatan Lisa selama ini”. Si suami hanya tenang, tersenyum sambil tangannya mengusap lembut perutnya yang kian bunting setiap hari. Hatinya tersentuh acapkali melihatkan si suami tenang membacakan ayat-ayat suci Al Quran buat zuriat kecil yang semakin membesar di dalam rahimnya. ‘Ya Allah, Ya Tuhanku...Kuatkan lah semangat hamba-Mu ini’.

Saat- saat kelahiran mendebarkan namun ianya tidaklah serumit waktu melahirkan dua cahayamatanya sebelum ini. Mungkin inilah nikmat dan fadhilat-Nya terhadap insan- insan yang redha akan ketentuan Ilahi. Bayi montel seberat 3.6 kilogram itu lahir tanpa sebarang masalah dan yang paling menggembirakan anak itu bagaikan hadiah hari lahir dari Si Pencipta buat dirinya. Ulang tahunnya di sambut dengan kenduri doa selamat sebagai tanda syukur selamatnya ibu dan anak dari ambang maut.

Kini di usia 6 tahun, Harlina bijak. Sudah mula pandai mengatur bait- bait perkataan. Walau sedikit lambat, ianya suatu perkembangan yang positif. Harlina pelajar contoh di kelas pendidikan khasnya di Cheras. Kata Puan Kamariah, anaknya itu bijak bersosial dan petah berbual. Apatah lagi kalau tiba masa bercerita kisah- kisah Nabi, anak itu bagaikan hilang di alam itu, sendirian cuba menghayati setiap pengorbanan para mujahidin yang berjuang ke jalan Allah SWT.

Harlina juga tidak betah di bantu. Segalanya mahu di lakukan sendiri namun mulut comel itu tidak malu meminta bantuan sekiranya tidak dapat menyelesaian tugasannya sendirian. Mujurlah Hannah dan Hasyim juga amat sayangkan adiknya yang seorang. Dibelai dan dimanja bagai tiada hari esok. Segalanya buat Harlina yang tercinta.

Tidurlah Dr Lisa, hati kecilnya berbisik. Hari esok pasti tiba dengan 1001 cabaran baru. Di angkat selimut perlahan dan diubah suhu pendingin hawa agar tidak terlalu sejuk. Bantal ditepuk agar selesa buat kepalanya dan leher.”Hmm....Esok cuti, sempat rasanya kalau hendak ke Cheras bersama Harlina dengan Abahnya selepas menghantar Kakak dan Hasyim ke sekolah”. Mengingatkan rutin itu, dia tersenyum. Sebelum terlupa, di raih tangan suami dan dikucup lembut. Suami nya tersedar.

“Lisa baru balik , sayang?”.

“Hmm, ye Bang. Ada masalah sedikit waku di OT tadi. Lisa minta maaf sekiranya Lisa mengejutkan Abang. Lena benar tadi tidurnya”.

“Tak mengapa. Abang rindu Lisa......”.

“Lisa mohon maaf sekiranya waktu lena nanti Lisa membelakangkan Abang tanpa Lisa sedar, yer sayang”, katanya seraya mencium pipi suaminya penuh kasih.

“Abang maafkan, sayang. Sudahlah, mari tidur”.

Dia mengambil tempat di dalam pelukan si suami. Terasa kehangatan badan yang dirindui sejak pagi tadi. Dia kini kembali ke pangkuan suami. Kepangkuan orang yang di cintai nya. Kepangkuan kekasih, tiang seri dan sahabatnya.Kepangkuan syurga dunianya....................

0 comments: