Saya terpanggil utk membaca entri dr Ustaz Saiful dan pendangan beliau mengenai isu Seksualiti Merdeka yang sibuk diperbincangkan seantero alam sekarang ni..Saya copy paste di sini untuk tazkirah diri dan para sahabat - untuk bacaan dan sedikit "jentikan" untuk minda kita masing-masing...Read it with an open mind, please..Ini bukan artikel dari sebarangan orang, beliau punya pengalaman + ilmu yang seiring dengan peranan beliau sebagai pendakwah + pakar motivasi remaja..Memang secara peribadi, saya seorang silent reader di blog beliau - byk belajar dr situ kerana pendekatan beliau yang tidak tipikal pada seorang pendakwah yang acapkali begitu sinonim dengan ceramah yang punya intonasi membentak + marah2 + suka mengecam dan menakut2kan hadirin dgr pembalasan Tuhan...( contoh yg paling saya ingat sampai sekarang -->kenapa perlu pakai tudung?itu tuntutan ALLAH SWT.Siapa tak pakai tudung, berdosa. Banyak dosa, masuk neraka. Neraka tu PANAS! **ceramah diberi oleh seorang ustazah berhijab + jilbab yang punya a very condecending tone, sambil intonasinya merendah2kan dan seolah-olah mengecam kami semua yang "togel" ni. Saya sungguh tidak terpana dan tidak tertarik utk bertudung selepas menghadiri sesi beliau!**
anyway, enough about me..let's read the article, shall we?
Seksualiti Merdeka: Antara Kesongsangan Seksualiti dan Kesongsangan Kefahaman
Seperkara yang menghodohkan proses memperbaiki masyarakat berkaitan isu Seksualiti Merdeka ini adalah ketidak telitian semua pihak dalam berkata-kata.
Paling mendukacitakan, ketidak telitian itu paling banyak berlaku kepada para penentang. Setiap ketidak telitian, memberikan tambahan kekuatan kepada apa yang mereka sendiri tentang.
Bagi para agamawan, mereka seharusnya lebih teliti dalam menyatakan bangkangan. Hak-hak LGBT (meminjam istilah mereka) tidak boleh dinafikan dengan membuat perbandingan bersama tuntutan hak perogol untuk merogol, atau hak paedophile mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak di bawah umur. Titik besar yang membezakan antara semua itu ialah, soal persetujuan bersama pelaku seks tersebut. Dalam kes rogol, seks berlaku tanpa persetujuan. Dalam kes seks kanak-kanak di bawah umur, mereka belum ‘mempunyai hak’ untuk memberikan persetujuan. Konsensus adalah subjek yang besar di dalam topik hak-hak asasi kemanusiaan.
Percayakah agamawan, bahawa golongan yang memperjuangkan Seksualiti Merdeka ini juga adalah golongan yang sangat gigih menentang jenayah rogol, penderaan seksual di rumah dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak? Malah isu suami merogol isteri juga pernah ditimbulkan!
Ini jelas menunjukkan bahawa, di peringkat dasar, Seksualiti Merdeka ialah cabang kepada perjuangan hak asasi manusia, bukan cabang kepada Festival Seks Bebas atau Kelab Tarian Bogel.
Ketidak cermatan agamawan dalam meletakkan ulasan, menyebabkan seluruh hujah mereka tidak dipandang biar pun dengan sebelah mata, kerana konotasinya hanya satu, iaitu MEREKA SENDIRI TIDAK FAHAM APA YANG MEREKA PERKATAKAN!
MEMPOLITIKKAN SEGALANYA
Hal ini diburukkan lagi oleh kecenderungan biasa masyarakat mempolitikkan segalanya.
Semuanya mahu dilihat daripada sudut political mileage.
Saya tidak faham mengapa Dato’ Ambiga Sreenevasan yang menjadi sasaran utama serangan media, terutamanya TV3 yang tiba-tiba mahu menjadi juara moral, sedangkan tokoh utama di sebalik Seksualiti Merdeka adalah Datuk Paduka Marina Mahathir. Beliaulah yang sepatutnya diambil keterangan oleh pihak polis, ditemuramah oleh media dan didapatkan pendapatnya berkenaan dengan tuntutan Seksualiti Merdeka agar isu sebenarnya dapat difahami.
Ambiga adalah Ambiga.
Marina Mahathir, bapanya sendiri dilabel oleh dunia sebagai homophobic kerana memberi amaran keras kepada semua diplomat asing agar jangan cuba membawa pasangan sejantina ke Malaysia, pasca pendakwaan kes DSAI lewat 1998.
PERSPEKTIF UNTUK PERTIMBANGAN PENENTANG
“Bakar sahaja!”
“Campak dari tebing gunung!”
“Terajang sahaja!”
Itu antara kata-kata yang diluahkan oleh mereka yang menentang LGBT. Kata-kata yang sama juga dihamburkan kepada penagih dadah, pesakit AIDS dan semua kelompok ‘sampah masyarakat’.
Memang mudah berkata-kata, sebelum kata-kata itu menjadi ludah ke langit yang jatuh menimpa muka sendiri.
Kita masih melihat kelompok ini sebagai anak orang, orang lain, tiada kena mengena dengan kita.
Tetapi kita terlupa, kesongsangan seksual bukan lagi ‘gajah di dalam bilik’. Ia tidak lagi boleh dilayan sebagai ‘There’s and elephant in the room’ yakni menafikan kewujudan kes ini dalam kehidupan kita sendiri. Kes kesongsangsan seksual sudah sangat melata. Saya yang tiada kena mengena dengan gerakan Seksualiti Merdeka pun, tidak putus-putus dihubungi anak muda yang meminta bantuan, biar pun saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak membantu.
Kita sedap menghentam sebab ia belum membabitkan anak kita, suami kita, isteri kita, keluarga kita.
SALAH SIAPA
Kesongsangan itu penyakit yang tidak boleh dirawat dengan ‘fatwa’, ‘hukum fiqh’ apatah lagi cemuhan.
Kesongsangan itu juga bukan sengaja mencari penyakit.
Salah kita juga, membiarkan anak kita mengalami gangguan seksual semasa di usia sekolah rendah.
Salah kita juga, memandang remeh kejadian raba, buli dan liwat di asrama-asrama sekolah terkemuka, tidak terkemuka, agama dan bukan agama.
Salah kita juga, membiarkan anak lelaki dibesarkan oleh sepasang suami isteri yang isterinya lebih dominan berbanding suami yang sepatutnya lebih berperanan.
Salah kita juga, membiarkan ramai kaum ibu yang didera oleh suaminya di hadapan anak-anak perempuan hingga anak perempuan itu rosak naluri dan pandangannya terhadap lelaki.
Salah kita juga, kerana terlalu inginkan anak perempuan, anak lelaki dipakaikan dengan pakaian perempuan untuk ‘nafsu kita’ yang menginginkan selain yang Tuhan beri.
Salah kita juga, membiarkan anak lelaki yang lembut tidak dibantu mengeraskannya, anak perempuan yang keras tidak dibantu melembutkannya.
Salah kita juga, membiarkan internet berleluasa tanpa sekatan hingga semua kecenderungan seksual mendapat suntikan tenaga, visual, falsafah dan berakhir menjadi sebuah gerakan.
Salah kita juga, mengundi kerajaan yang tidak bersungguh pun dalam menekuni solusi kepada kebejatan kemanusiaan ini.
Salah kita juga, agamawan hanya mampu menghukum, tetapi tidak mampu menawarkan solusi.
SOALAN PRAKTIKAL
Jawab soalan saya, “bagaimanakah seorang gay boleh diluruskan kembali?”
Jawab soalan saya, “bagaimanakah seorang lesbian boleh diharmonikan kembali kejiwaan dan nalurinya?”
Jawab soalan saya, “apakah solusi Islam kepada golongan Mak Nyah? Jika mereka mahu bertaubat, ke pintu manakah jalan taubat hendak dibuka?”
Segulung ijazah Syariah yang saya miliki, tidak membekalkan jawapan yang jelas untuk menawarkan ISLAM sebagai SOLUSI.
Saya mahu bercakap dengan bahasa dosa dan pahala kepada manusia yang tidak mempunyai pertimbangan dosa dan pahala dalam sistem kawalan dirinya. Seperti bercakap tentang taharah (kesucian) kepada manusia yang hanya memahami nazafah (kebersihan). Ia bersangkutan dengan cabaran bercakap tentang agama kepada manusia yang set pemikirannya berbeza daripada set agama.
Ia sangat materialistik.
Mazhab yang sama pada menjadikan pelbagai subjek lain, terpisah daripada Tuhan dan ketuhanan.
Saya sebagai seorang ustaz, mempunyai tuntutan yang besar untuk menelusi missing link tersebut.
Belief system, world view dan value system, adalah fondisi masalah ini, sebagaimana saranan Sayyid Qutb dalam membaca asas tindak tanduk manusia.
KESONGSANGAN SEKSUAL TETAP TIDAK NORMAL
Biar pun banyak kebuntuan pada mencari solusi, ia tidak akan sama sekali menjadikan saya berputus asa, lalu mahu tunduk kepada menganggap seksualiti LGBT sebagai ‘normal’, ‘perlu diterima’ malah diberikan hak untuk praktis.
Ia tetap sebuah penyakit.
Penyakit yang membunuh kemanusiaan.
Biar seluruh alam menjadi gay atau lesbian, penyelesaiannya tetap kepada menyatukan kembali lelaki dan perempuan dalam ikatan perkahwinan untuk melahirkan zuriat yang berhak memiliki ibu dan bapa yang sempurna.
Justeru agamawan perlu menginsafi kejadian ini.
Mungkin ini ‘hukuman kecil daripada Allah’ untuk agamawan yang kebelakangan ini sangat pantas melabel satu sama lain dengan Wahabi tidak Wahabi, bertauliah tidak bertauliah, hingga akhirnya, Lady Gaga dianggap lebih berhikmah dalam ‘berdakwah’ berbanding ustaz dan ustazah.
Sekali lagi, simpati saya kepada golongan LGBT yang berusaha untuk ‘kembali’.
Bantahan saya kepada golongan LGBT yang berusaha untuk menutup signifikasi usaha ‘kembali’.
Saya percaya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak bersama dengan kelompok yang membakar sepanduk, sama ada bersongkok tinggi atau berserban. Baginda mahu kita lebih mendasar pada memahami apa yang sedang berlaku. Baginda hanya memalingkan muka daripada pembenci kebenaran.
Pembenci kebenaran boleh berada di kedua-dua tebing.
Antara penyokong LGBT.
Dan penentang Seksualiti Merdeka.
Amanahlah kita, berdiri di hadapan-Nya.
Kesongsangan seksualiti tidak boleh disembuhkan oleh kesongsangan pemikiran.
p/s: moga selepas membaca artikel ini, kita lebih terbuka utk melihat isu dan mencari solusi , dr hanya melihat + diam @ melihat, menerjah melalui pemikiran kita yang jumud + "menghentam"..